Kota Kinabalu —Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menafikan dakwaan wujud campur tangan pihak kenamaan (VVIP) dalam proses bedah siasat remaja itu di Hospital Queen Elizabeth I (QEH).
Shahlan Jufri berkata, beliau berada di dalam bilik bedah siasat dari awal hingga akhir proses, bermula kira-kira jam 11 pagi hingga 7.30 malam, dan mengesahkan hanya wakil keluarga, doktor serta pihak polis yang terlibat.
“Bedah siasat dijalankan secara telus dan penuh teliti. Tiada ‘tangan ghaib’ seperti yang diperkatakan. Setiap kecederaan diperiksa satu persatu, dan saya diberi penjelasan bagi setiap penemuan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai tuduhan tidak berasas di media sosial, termasuk dakwaan kononnya Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Menurutnya, pihak polis telah menahan individu yang menyebarkan cerita tersebut, manakala beberapa ibu bapa yang gambar anak mereka turut disalahgunakan juga telah membuat laporan polis.
“Seperti kita tidak mahu Zara difitnah, begitu juga kita tidak harus memfitnah orang lain,” tegasnya.
Jenazah Zara dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang selepas bedah siasat selesai. Pelajar Tingkatan 1 itu meninggal dunia pada 17 Julai lalu, dalam kejadian yang dikaitkan dengan kes buli dan mencetuskan desakan agar keadilan ditegakkan.