KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan setiap rang undang-undang (RUU) yang dirangka tidak digubal secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses penelitian rapi dan libat urus menyeluruh, khususnya melibatkan perundangan yang memberi kesan besar kepada hak rakyat serta ekonomi negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, penambahbaikan kaedah penggubalan undang-undang kini menjadi fokus utama kerajaan bagi memastikan setiap RUU yang dibentangkan di Parlimen memenuhi standard kualiti, ketelusan dan keterangkuman.
Menurutnya, pendekatan itu telah dilaksanakan dalam beberapa RUU dan akta penting termasuk RUU Ombudsman, RUU Kebebasan Maklumat serta RUU Pendanaan Politik yang kini dalam penelitian.
Malah, katanya, akta yang telah diluluskan seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Akta Antibuli 2026 juga melalui proses perundingan komprehensif sebelum dibentangkan.
Sebagai contoh, bagi RUU Pendanaan Politik, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan 20 siri sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Daripada jumlah itu, 12 sesi diadakan di peringkat negeri dengan penyertaan seramai 1,544 peserta.
Golongan yang terlibat merangkumi pegawai kerajaan Persekutuan dan negeri, parti politik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), wakil dewan perdagangan, persatuan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan masyarakat sivil (CSO), ahli akademik serta golongan belia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat mengenai langkah kerajaan memastikan mutu penggubalan undang-undang sentiasa berada pada tahap tinggi.
Tambahnya lagi, penglibatan Ahli Parlimen turut diperkasa sejak peringkat awal melalui sesi taklimat bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen supaya wakil rakyat memahami hala tuju dasar dan kandungan sesuatu RUU sebelum ia dibentangkan.
Tegasnya, pendekatan menyeluruh itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap amalan demokrasi penyertaan serta keterbukaan dalam proses perundangan, selain sentiasa bersedia menerima pandangan dan pertanyaan lanjut daripada Ahli Parlimen demi memastikan undang-undang yang diluluskan benar-benar tuntas dan berpaksikan kepentingan rakyat.










