KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak merancang untuk menaikkan harga gula dalam masa terdekat, kata Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menurut beliau, harga gula akan kekal selagi kerajaan meneruskan bantuan kepada syarikat pengeluar utama seperti MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) yang kini bergelut dengan kenaikan mendadak harga gula mentah di pasaran global.
“Tiada sebarang perbincangan untuk menaikkan harga buat masa ini selagi kerajaan membantu dengan memberi insentif kepada pengeluar gula,” katanya kepada media selepas merasmikan Festival FGV sempena Hari Peneroka FELDA 2025 di MITEC, hari ini.
Ahmad Shabery menjelaskan bahawa peneroka FELDA yang menjadi pemegang saham MSM melalui FGV Holdings Bhd dan Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF) turut mendapat manfaat secara langsung daripada bantuan kerajaan.
Sebelum ini, MSM dilaporkan mengalami kerugian apabila harga pasaran gula mentah melonjak jauh melebihi harga siling kerajaan, iaitu RM2.85 sekilogram, menyebabkan dividen peneroka terjejas.
“Pernah satu ketika, peneroka secara tidak langsung ‘menanggung’ subsidi RM1 untuk setiap kilogram gula yang dijual. Keadaan itu menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.
MSM sebelum ini mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menaikkan harga gula kasar kepada RM3.85 sekilogram, selaras dengan peningkatan kos bahan mentah global.
Namun, cadangan itu masih belum mendapat kelulusan.
“Menaikkan harga gula memang boleh membantu syarikat, tetapi ia juga akan membebankan pengguna. Gula bukan hanya digunakan dalam minuman, tetapi juga dalam pelbagai produk makanan,” tambah Ahmad Shabery.