Tiada Bukti Jho Low Berada Di Shanghai, Guna Pasport Palsu

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa tiada bukti sahih setakat ini yang mengesahkan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, sedang menetap di Shanghai, China menggunakan pasport palsu Australia, seperti yang didakwa oleh dua wartawan penyiasatan antarabangsa baru-baru ini.

Beliau berkata, dakwaan yang dibuat oleh Bradley Hope dan Tom Wright hanya boleh dianggap sebagai laporan media tanpa sokongan bukti konkrit.

“Setakat ini, saya katakan bahawa dakwaan mengenai lokasi dan penggunaan pasport individu yang disebut itu belum ditemui fakta sokongan atau mana-mana bukti yang sah dan sahih.

“Kalau ada bukti, kita akan maklumkan. Jika tiada, maka kita perlu nyatakan yang sebenarnya,” katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja ke Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang, hari ini.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa kerjasama antarabangsa antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi penguat kuasa luar negara masih diteruskan secara konsisten dalam usaha menjejaki individu yang dikehendaki, termasuk Jho Low.

“Kerjasama erat kita dengan agensi luar negara sentiasa berjalan,” tambahnya.

Dalam satu siaran langsung bertajuk Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, kedua-dua wartawan berkenaan mendakwa bahawa Jho Low kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, memandu kenderaan mewah, dan berperanan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China.

Lebih kontroversi, mereka mendakwa beliau menggunakan pasport palsu Australia untuk menyembunyikan identitinya.

Susulan pendedahan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan menyemak semula dakwaan itu dengan KDN bagi memastikan kesahihannya.

Untuk rekod, Jho Low merupakan individu utama yang dikaitkan dengan skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah menggegarkan negara dan mencetuskan perhatian dunia.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan dana SRC International, anak syarikat 1MDB.

BBerkaitan

Latest articles