Thailand, Kemboja Mahu Malaysia Terus Jadi Perantara Isu Sempadan – Anwar

PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja mahu Malaysia terus memainkan peranan penting sebagai perantara dalam menyelaras usaha damai antara kedua-dua negara susulan konflik yang tercetus di kawasan sempadan mereka baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu disampaikan secara langsung oleh Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja dalam pertemuan bersama beliau hari ini.

“Mereka berdua komited untuk terus mematuhi syarat-syarat gencatan senjata yang telah dipersetujui dan menyatakan kepercayaan mereka kepada Malaysia untuk terus menyelaras rundingan serta pemantauan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan.

Anwar memaklumkan bahawa atase pertahanan ASEAN akan turut serta dalam pemantauan pelaksanaan gencatan senjata, namun Malaysia berpendapat campur tangan penuh ASEAN tidak lagi diperlukan buat masa ini.

“Setakat ini, kerjasama dua hala antara Thailand dan Kemboja, dengan Malaysia sebagai penyelaras, sudah mencukupi,” tambah beliau.

Menurut Anwar, hanya beberapa isu kecil masih berbangkit dan beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan segera menerusi saluran diplomatik yang telah diwujudkan.

Mengulas mengenai penglibatan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat, Anwar menjelaskan bahawa kedua-dua negara itu tidak terlibat secara langsung dalam urusan pengawasan sempadan, sebaliknya hanya menawarkan bantuan logistik dan kerjasama sekiranya diperlukan.

“Isu ini kekal sebagai tanggungjawab dua hala antara Kemboja dan Thailand, dengan ASEAN memberi kerjasama penuh melalui Malaysia sebagai penyelaras utama,” jelasnya.

Konflik sempadan yang memuncak sejak 28 Mei lalu telah menyebabkan ketegangan ketara antara kedua-dua negara, susulan insiden pertempuran di kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, sehingga mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Bagi meredakan ketegangan, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Thailand dan Kemboja berkongsi sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan beberapa bahagian masih belum dimuktamadkan secara rasmi, menjadikannya titik pertikaian bersejarah antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Malaysia sebagai negara maritim juga pernah menghadapi isu sempadan dengan banyak negara. Namun perbezaan itu tidak pernah menjadi penghalang untuk kita mengekalkan hubungan baik. Itulah pendekatan yang kita ingin galakkan di rantau ini,” ujar Anwar.

BBerkaitan

Latest articles