KUALA LUMPUR — Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlakunya satu insiden kekerasan melibatkan anggota tentera di Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD), Kem Bentong pada 30 Mac lalu.
Menurut kenyataan rasmi, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) dipercayai bertindak menggunakan kekerasan terhadap beberapa anggota lain dengan menampar serta menumbuk di bahagian muka dan perut, dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan penugasan yang diberikan.
Akibat kejadian itu, seorang anggota, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum diberikan rawatan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD dan kemudian dipindahkan ke Hospital Bentong.
Mangsa kini sedang menerima rawatan rapi dengan bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Dalam kejadian sama, enam anggota lain disahkan tidak mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Bentong oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keterangan mereka diambil.
Menurut kenyataan itu lagi,anggota PTTR yang disyaki telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. TDM memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan satu lembaga siasatan telah ditubuhkan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat. TDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang dan peraturan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, TDM menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati privasi mangsa dan keluarganya.
Semalam Polis menahan seorang tentera berpangkat koperal bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota lain termasuk menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada bapa mangsa yang berusia 49 tahun, dan menahan suspek, 37, pada kira-kira 2.30 petang semalam.










