KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai “gempak teaser, hambar isi”, apabila kandungannya dilihat tidak sepadan dengan gembar-gembur yang dibuat lebih awal.
Menurut beliau, pengumuman seperti bantuan tunai one-off RM100, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, serta pengekalan kadar tol tahun ini, hanyalah pengumuman bersifat rutin yang sepatutnya boleh diumumkan pada bila-bila masa, terutama menjelang pembentangan Bajet 2026.
“Tidaklah padan dengan teaser yang ditayangkan seminggu sudah, seolah-olah filem pecah panggung. Rupanya filem cap ayam menggunakan software ciplak untuk proses editing,” tulisnya secara sinis di Facebook, hari ini.
Ahmad Fadhli turut mendakwa pengumuman itu dibuat lebih awal daripada jangkaan kerana kerajaan sedang berusaha meredakan kemarahan rakyat menjelang Himpunan Aman Turun Anwar yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, Sabtu ini (26 Julai).
“RM2 bilion bantuan tunai tidak memberi apa-apa erti berbanding RM7.5 bilion hasil ‘penyasaran’ subsidi diesel,” tegas beliau.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menyindir penurunan lima sen harga petrol yang diumumkan Anwar sebagai sesuatu yang terlalu kecil untuk dijadikan pengumuman secara langsung oleh Perdana Menteri di kaca televisyen.
Mengenai kenaikan harga lantai padi, Ahmad Fadhli berpendapat langkah itu tidak menyelesaikan isu utama kerana kos pengeluaran padi kekal tinggi, manakala keuntungan tetap memihak kepada orang tengah, bukan pesawah.
“Tiada langkah jangka panjang yang diumumkan. Hanya pengumuman biasa. Turun tetap turun! 26 Julai, jumpa di Kuala Lumpur,” ujarnya, merujuk kepada perhimpunan aman yang bakal dianjurkan oleh beberapa kumpulan masyarakat sivil dan pembangkang.