PETALING JAYA: Suasana di Mahkamah Sesyen hari ini bertukar tegang dan pilu apabila Ismanira Abdul Manaf diperintah dipenjara serta-merta selama lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh ketika menjatuhkan hukuman menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
“Tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan,” tegas hakim ketika membacakan keputusan.
Namun keputusan itu mencetuskan suasana kecoh dan penuh emosi di ruang mahkamah.
Suami tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari, dilihat tidak dapat menahan marah dan menjerit sebaik sahaja keputusan dibacakan.
“Biar Allah melaknat kamu semua!” jeritnya lantang, disaksikan keluarga dan pengamal media.
Keadaan bertambah tegang apabila ibu Zaim turut menzahirkan kemarahan kepada pihak media sambil menangis teresak-esak.
“Pembunuh masih di luar, kamu penjarakan ibunya!” laungnya dengan suara bergetar.
Dalam kekecohan itu, lebih 10 individu termasuk ahli keluarga dan anggota polis terpaksa memegang Zaim bagi menenangkannya.
Bapanya turut memeluk erat sambil berulang kali berpesan, “Sabar, sabar, jangan.”
Ismanira yang berada di kandang tertuduh turut menangis sambil memanggil nama suaminya, sebelum dibawa keluar oleh anggota polis menuju ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman.
Ibu mentuanya sempat menggenggam tangan Ismanira sambil menangis, mencipta suasana hiba di ruang mahkamah yang penuh sesak dengan ahli keluarga dan media.
Bagi mengawal keadaan, polis mengiring keluar seluruh keluarga tertuduh dari perkarangan mahkamah selepas insiden itu.
Ismanira dan suaminya sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama mengabaikan Zayn Rayyan, 6, yang juga anak autistik, hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kejadian itu berlaku antara 5 dan 6 Disember 2023 di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Sementara itu, pihak pembelaan memaklumkan akan meneruskan proses rayuan terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Tinggi.










