Tanding Solo Atau Sebaliknya, Umno Sabah Tak Gelojoh – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Umno Sabah menegaskan ia tidak akan terburu-buru dalam menggunakan kuasa autonomi untuk menentukan pendirian menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sama ada bergerak secara solo atau bekerjasama dengan parti lain.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pendekatan yang diambil adalah bersifat strategik dan matang, selaras dengan semangat perpaduan di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Kita tidak gelojoh mengumumkan sesuatu tanpa strategi. Kita tidak terikut-ikut rentak panik pihak lawan yang baru semalam bertengkar, hari ini bergambar bersama, esok kembali saling menikam,” katanya memetik FMT.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Arthur Sen, yang mencabar Umno Sabah agar mengisytiharkan pendirian bertanding solo, Bung Moktar membidas kenyataan itu sebagai cubaan memperlekehkan kuasa autonomi Umno Sabah.

“Kami tidak perlukan mana-mana pihak, termasuk PBS yang sedang ‘menyewa ruang’ dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), untuk memberi cabaran atau nasihat yang tidak diminta.

“Kami tahu bila untuk bertindak, dengan siapa perlu bekerjasama dan bila masanya untuk berdiri sendiri,” katanya tegas.

Arthur sebelum ini menyatakan bahawa Bung tidak seharusnya hanya memberi isyarat bersedia bertanding solo tanpa sebarang pengumuman rasmi, susulan perbincangan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan GRS menjelang PRN17 Sabah yang perlu diadakan sebelum akhir tahun ini.

Pada Mei lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan bahawa BN dan PH akan bekerjasama menghadapi PRN Sabah.

Namun Bung Moktar menjelaskan, sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan GRS akan hanya dipertimbangkan berdasarkan keputusan PRN kelak.

Sebaliknya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan GRS dan PH telah bersepakat membentuk pakatan menghadapi PRN, kenyataan yang turut disahkan oleh Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pula menegaskan bahawa pakatan bersama PH telah “dikunci”, membayangkan kemungkinan besar bahawa BN dan GRS akan bertembung di PRN Sabah nanti.

BBerkaitan

Latest articles