Tampar Pemuda Kerana Makan Secara Terbuka, Warga Emas Akan Didakwa Pagi Ini

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas yang bertindak menampar seorang pemuda bukan Islam kerana makan secara terbuka ketika bulan Ramadan, akan didakwa hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek yang berusia 65 tahun akan didakwa bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Hari ini (semalam), kertas siasatan telah dirujuk ke Yang Arif Timbalan Pendakwaraya Negeri Johor dan hasil penelitian Yang Arif Timbalan Pendakwaraya membuat keputusan untuk menuduh suspek.

“Suspek warga tempatan yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu akan dibawa ke mahkamah dan dituduh,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas kerana makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.

Berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

Pemuda itu yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa warga emas berkenaan memarahi dan turut menamparnya beberapa kali.

Pada masa sama, Balveer Singh menasihati orang ramai supaya tidak melanggar undang-undang.

“Bertindak rasional dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Hindari keganasan, patuhi undang-undang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles