SEPANG: Cubaan licik sekumpulan warga asing menyamar sebagai penumpang baharu tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) untuk mengelak pemeriksaan imigresen berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, AKPS memaklumkan seramai 13 warga asing ditahan hasil operasi pemantauan rapi yang dijalankan Unit Pemantauan AKPS.
“Daripada 270 warga asing yang diperiksa, 13 individu melibatkan lapan lelaki dan seorang wanita warga India serta empat lelaki warga Pakistan – telah ditolak kemasukan ke negara ini selepas dikesan menggunakan taktik penyamaran,” jelas kenyataan itu.
Modus operandi yang digunakan kumpulan terbabit adalah dengan menukar pakaian di kawasan transit bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sebelum cuba menyusup semula ke dalam barisan imigresen seolah-olah baru sahaja mendarat di Malaysia.
Namun taktik itu tidak berjaya mengelak daripada perhatian anggota keselamatan AKPS yang menjalankan pemantauan ketat di sekitar kawasan terminal.
“Kesemua suspek berjaya dikesan dan ditahan sebelum sempat melepasi kaunter pemeriksaan imigresen,” katanya lagi.
Susulan kejadian ini, pihak AKPS KLIA akan memperketat kawalan di kawasan transit termasuk peningkatan rondaan berkala, pemantauan CCTV secara aktif dan pelaksanaan prosedur saringan yang lebih ketat.
Dalam masa sama, komuniti KLIA yang terdiri daripada kakitangan operasi dan pengendali penerbangan turut diseru untuk menyalurkan maklumat jika terlihat sebarang pergerakan atau kelakuan mencurigakan melibatkan penumpang warga asing.
“Sokongan dan kewaspadaan semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan serta integriti pintu masuk negara terus terjamin,” tegas kenyataan itu.