Tak Wajar Persalahkan SPRM Atas Kehilangan Pamela Ling

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa agensi itu tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh, memandangkan insiden tersebut berlaku di luar bidang kuasa dan kawalan mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kejadian kehilangan Pamela pada 9 April lalu berlaku di jalan awam dan bukan di dalam kawasan SPRM, sekali gus menolak sebarang dakwaan kegagalan memberikan perlindungan kepada wanita berprofil tinggi itu.

“Orang ramai tidak boleh menyalahkan SPRM kerana kejadian berlaku di jalan awam dan bukan dalam kawasan SPRM, ia di luar kawalan kami,” katanya hari ini.

Menurut Azam, sepanjang kehadiran Pamela ke ibu pejabat SPRM sebelum kejadian, tiada sebarang insiden mencurigakan atau petanda awal menunjukkan wujud ancaman terhadap keselamatannya.

Pamela sebelum ini hadir ke SPRM sebagai saksi untuk membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.

Namun, kehilangan mengejut beliau telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Azam menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“SPRM akan terus memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan ini. Malah, pegawai penyiasat SPRM yang mengambil keterangan daripada beliau juga telah memberi kenyataan kepada pihak polis,” jelas beliau.

Sementara itu, polis kini sedang menumpukan siasatan terhadap suami mangsa serta beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kehilangan Pamela.

BBerkaitan

Latest articles