KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR yang berlangsung baru-baru ini mencetus beberapa isu hangat, dan kini spekulasi mula bertebaran mendakwa Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan, kononnya kerana tidak berpuas hati terhadap sistem pemilihan yang dianggapnya tidak telus.
Spekulasi ini timbul selepas laporan media memetik kenyataan penyokong rapat beliau yang mendakwa Rafizi menyuarakan hasrat berundur dalam satu mesyuarat tertutup bersama penyokongnya selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu.
Walaupun tiada pengesahan rasmi dikeluarkan, langkah Rafizi yang kini mengambil cuti selama sebulan dan hanya akan kembali bertugas selepas 31 Mei menguatkan andaian bahawa terdapat pergolakan dalaman dalam kepimpinan tertinggi PKR.
Sumber dalaman, seperti yang dilaporkan Sinchew Daily turut memaklumkan bahawa Rafizi mungkin menanti laporan penuh daripada audit luar negara yang sedang menyiasat ketelusan sistem pemilihan parti.
Laporan ini dijangka akan diserahkan awal Mei, dan hasilnya dipercayai akan menjadi penentu kepada langkah seterusnya oleh tokoh yang pernah menjadi penggerak utama kempen “Reformasi Ekonomi” itu.
Pemilihan semula di beberapa cabang utama PKR, termasuk Selayang, Jempol, dan Pasir Salak, turut menimbulkan persoalan mengenai integriti sistem yang digunakan, yang dikaitkan antara punca utama kekecewaan Rafizi.
Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun menolak sebarang spekulasi berkaitan status Rafizi, menyifatkan cuti itu sebagai hal biasa dalam mana-mana organisasi.