“Tak Popular Tak Bermakna Salah” – Zahid Tegas Umno Pilih Kestabilan Negara Berbanding Kepentingan Politik

RAUB: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat parti, biarpun tidak popular di mata sesetengah pihak, adalah demi menjamin kestabilan negara dan masa depan rakyat.

Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Raub, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perjuangan politik yang matang menuntut keberanian membuat keputusan berdasarkan prinsip, bukan emosi atau desakan populis.

“Dalam perjuangan, tidak semua keputusan itu selesa, tetapi ia mesti berlandaskan prinsip dan tanggungjawab.

“Setinggi mana pun kedudukan kita dalam parti atau kerajaan, ia tetap satu amanah yang wajib dipikul,” katanya.

Zahid turut mengingatkan akar umbi agar terus memperkukuh perpaduan dalaman Umno dan Barisan Nasional (BN), serta menjadikan kekalahan dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sebagai pengajaran berharga untuk membina semula kekuatan parti.

“Kita sudah diuji dua kali dalam PRU. Cukuplah berpecah dan ‘tembak sesama sendiri’. Kalau masih ada duri dalam daging, inilah masanya kita keluarkan.

“Betulkan kembali rumah tangga Umno dan BN supaya kita boleh kembali dominan dalam lanskap politik negara,” tegasnya.

Zahid berkata, apa yang diperlukan oleh Umno ketika ini bukan sahaja strategi politik, tetapi juga kesatuan hati, semangat perjuangan yang tidak mudah goyah, dan komitmen untuk terus menyumbang kepada kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Zahid menyatakan bahawa Umno akan meneliti sama ada terdapat ahli parti yang terlibat dalam perhimpunan anjuran pembangkang di ibu negara kelmarin.

“Umno kini merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan MADANI. Tugas kita adalah untuk memperkukuh, bukan meruntuhkan kerajaan yang sedang memacu negara ke arah kestabilan dan pemulihan,” katanya ringkas.

BBerkaitan

Latest articles