SANDAKAN: UMNO Sabah mencadangkan agar syarikat penerbangan AirAsia untuk menurunkan harga tambang penerbangan bagi membolehkan rakyat Sabah pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan UMNO Sabah yang juga Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata ribuan anak Sabah yang bekerja atau menetap di Semenanjung berdepan kos penerbangan yang tinggi untuk pulang mengundi.
Menurutnya, promosi khas ‘Jom Balik Undi’ dilaksanakan Airasia dengan tambang serendah RM299 sehala masih tidak memadai kerana jumlah itu belum termasuk caj bagasi, cukai lapangan terbang dan perbelanjaan lain.
“Bagi kebanyakan rakyat Sabah khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah, kos itu masih terlalu tinggi kerana perjalanan perjalanan pergi balik Sabah-Semenanjung sudah mencecah hampir RM600.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, mampukah rakyat biasa menanggung hampir RM600 hanya untuk pulang mengundi?” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Suhaimi yang juga Ketua UMNO Libaran berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu pernah menerima pembiayaan daripada kerajaan Sabah sebelum ini ketika pandemic Covid-19.
Justeru, katanya, AirAsia wajar menunjukkan rasa tanggungjawab mereka kepada negeri ini yang pernah membantu mereka bertahan.
“Atas dasar moral dan keadilan sosial, adalah wajar bagi AirAsia menawarkan tambang khas di bawah RM300 untuk penerbangan pergi balik kepada rakyat Sabah yang pulang mengundi.
“Dari sudut ekonomi dan tanggungjawab korporat, langkah ini memberi kesan positif iaitu menunjukkan kepekaan moral bekas kepimpinan negeri bahawa dana negeri kepada syarikat korporat akhirnya kembali kepada rakyat, bukan hanya keuntungan,” katanya.










