Suspek Tetak Abang Ipar Hingga Putus Kepala Pernah Dirawat Di Hospital Psikiatri

ALOR SETAR: Polis mengesahkan lelaki yang disyaki menetak abang iparnya hingga putus kepala di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun, Jumaat lalu, mempunyai sejarah menerima rawatan psikiatri sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata suspek berusia 38 tahun itu pernah mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar selepas disahkan mengalami kemurungan pada 2021.

Namun, beliau berkata, siasatan mendapati lelaki itu berhenti mengambil ubat dan enggan meneruskan rawatan psikiatri sejak kira-kira lima bulan lalu, sebelum dipercayai mula mengalami halusinasi.

“Suspek memiliki kad rawatan psikiatri, tetapi berhenti menerima rawatan sejak empat hingga lima bulan kebelakangan ini. Kami percaya dia mengalami halusinasi serta mempunyai prasangka terhadap mangsa sehingga bertindak sedemikian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Adzli berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada gangguan mental yang dialami suspek, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, media melaporkan mangsa, Nasir Md Nayan, 45, maut dalam keadaan tragis apabila kepalanya putus akibat ditetak adik iparnya di kawasan sawah berkenaan pada malam Jumaat lalu.

Polis turut menemui beberapa kesan tetakan pada badan mangsa serta sebilah parang sepanjang 30 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Bahagian kepala mangsa ditemukan kira-kira satu meter dari tubuhnya.

Menurut polis, siasatan lanjut akan menentukan sama ada suspek akan dirujuk semula untuk penilaian kesihatan mental.

BBerkaitan

Latest articles