Suspek Didakwa Menyamar Polis Culik Pamela, Guna Kenderaan Bernombor Palsu

KUALA LUMPUR: Polis mendedahkan modus operandi suspek penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran palsu untuk mengelirukan orang awam serta pihak berkuasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, siasatan awal menunjukkan sekurang-kurangnya lapan individu terlibat dalam kejadian yang berlaku pada 9 April lalu, berdekatan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Polis juga memaklumkan penggunaan lima kenderaan, termasuk tiga – Toyota Camry, Nissan Almera dan Nissan Teana – yang dikenal pasti menghalang laluan kenderaan e-hailing Grab yang dinaiki mangsa.

Dua kenderaan lain pula dikatakan berada di hadapan dan belakang sebagai sokongan operasi penculikan.

“Pemandu Grab mendakwa melihat seorang wanita berpakaian seragam polis dan beberapa individu memakai vest keselamatan, seolah-olah mereka menjalankan operasi rasmi,” kata Rusdi dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Namun, beliau menegaskan bahawa tiada operasi polis dijalankan ketika itu, menjadikan penyamaran tersebut sebagai satu cubaan licik untuk mengaburi mata orang awam.

Lebih mengejutkan, kenderaan-kenderaan yang digunakan kumpulan tersebut didapati memakai nombor pendaftaran palsu yang disalin daripada kenderaan sah milik orang awam yang tidak terlibat dalam jenayah.

Setakat ini, tiada bukti menunjukkan Pamela telah meninggalkan negara melalui saluran rasmi, sekali gus menimbulkan kemungkinan beliau masih berada dalam negara.

Polis kini giat menjalankan operasi mengesan kesemua suspek dan menyeru orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles