KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia tujuh bulan yang merupakan anak angkatnya, dalam satu kejadian minggu lalu.
Tertuduh, Siti Subrina Imran, 38, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Siti Subrina didakwa membunuh mangsa di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras sekitar jam 7 pagi pada 30 Julai lalu.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta minimum 12 sebatan jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Menurut laporan media pada 31 Julai lalu, kejadian disedari selepas seorang lelaki dipercayai pasangan tertuduh membuat laporan polis pada jam 9.34 malam, memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di ruang tamu kediaman mereka di Bandar Sri Permaisuri.
Pasukan polis yang tiba di lokasi mendapati bayi tersebut berada dalam keadaan kebiruan dan penuh kesan lebam, lalu menahan wanita terbabit untuk siasatan lanjut.
Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bagi tujuan bedah siasat.