Sultan Selangor Titah Tiada Lagi Ladang Ternak Babi Di Tanjong Sepat

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan tegas bertitah supaya semua operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar mengikut pelan yang tersusun serta mematuhi undang-undang.

Titah itu dibuat selepas baginda menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim, serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim, di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Menurut Istana Alam Shah, baginda meneliti isu penternakan babi secara mendalam dengan mengambil kira kepentingan rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan satu kajian menyeluruh dilakukan bagi menentukan jumlah sebenar keperluan daging babi khusus untuk kegunaan masyarakat bukan Islam di Selangor sahaja.

Baginda menegaskan, tiada langsung perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.

Skala operasi di Bukit Tagar mesti ditentukan berdasarkan data sah supaya kekal terkawal dan munasabah.

Lebih tegas, baginda mengingatkan bahawa tiada satu sen dana negeri akan digunakan bagi operasi penternakan babi, termasuk di Bukit Tagar.

“Segala urusan mesti berjalan tanpa melibatkan wang awam,” menurut kenyataan itu.

Baginda berharap semua pihak mematuhi titah ini dengan penuh tanggungjawab demi menjaga kesejahteraan rakyat, alam sekitar dan keharmonian Selangor.

BBerkaitan

Latest articles