SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, Baginda tidak menolak penternakan babi secara kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam, namun menegaskan projek berskala besar dan berorientasikan eksport adalah tidak sensitif serta tidak seimbang dengan realiti demografi Selangor yang majoritinya orang Melayu Islam.
Baginda turut menyuarakan kebimbangan kerana Kuala Langat sudah lama berdepan masalah bau busuk, pencemaran sungai dan serangan lalat sejak 2010, yang menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup penduduk.
Sultan Selangor sendiri merasai kesan pencemaran itu kerana Istana Pantai Bahagia terletak di kawasan berkenaan.
Baginda mempersoalkan kewajaran menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sementara projek itu, kerana isu yang berlarutan lebih sedekad berisiko menjadi lebih buruk.
Malah, Baginda mencabar wakil rakyat supaya tinggal berhampiran kawasan ternakan bagi merasai sendiri penderitaan penduduk.
Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor turut membangkitkan persoalan sama ada projek penternakan babi berskala besar itu melibatkan kepentingan ahli politik atau ahli perniagaan tertentu, termasuk kemungkinan unsur rasuah dan konflik kepentingan.
Baginda juga mempersoalkan kos pemodenan penternakan yang tinggi, sama ada ia akan ditanggung kerajaan negeri sedangkan peruntukan itu lebih wajar digunakan untuk keperluan rakyat seperti sekolah dan hospital.
Walaupun tidak menolak sepenuhnya cadangan tersebut, Sultan Selangor menegaskan kajian menyeluruh perlu dibuat terlebih dahulu.
Menurut Baginda, pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat, serta kerajaan negeri mesti bertindak secara amanah dan telus.










