RAUB: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan meninggal dunia dalam rumah mereka di Sungai Ruan, dipercayai akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Shahril Abdul Rahman memaklumkan, mayat Loh Kam Ngo, 73, ditemui dalam keadaan terbaring berhampiran sinki di dapur, manakala isterinya, Wong Tong Seng, 75, ditemukan terbaring di bucu katil dalam bilik tengah rumah berkenaan.
“Mayat lelaki sudah berulat ketika ditemui. Pemeriksaan di tempat kejadian dan ke atas tubuh kedua-dua mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat pasangan tersebut dibawa ke Hospital Sungai Ruan untuk dibedah siasat, dan hasil laporan menunjukkan mereka meninggal dunia akibat Acute Coronary Syndrome (serangan jantung), dengan anggaran tempoh kematian berlaku kira-kira lima hari yang lalu.
Menurut Shahril, siasatan lanjut mendapati isteri mangsa menghidap penyakit Parkinson sejak lebih 20 tahun lalu dan keadaannya semakin teruk sehingga tidak mampu berjalan serta sukar bertutur.
“Anak mereka memaklumkan kali terakhir bertemu adalah semasa cuti sekolah baru-baru ini,” katanya.
Manakala si suami pula dipercayai mempunyai masalah jantung dan sering mendapatkan ubat dari Klinik Kesihatan Ulu Gali.
Difahamkan, beliau sering mengalami sakit dada ketika menaiki tangga menuju rumah mereka.