SHAH ALAM: Suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak di Selangor bakal berdepan tindakan lebih keras termasuk penyitaan aset, tahan pendapatan dan penjualan harta dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh penguatkuasaan perintah nafkah.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Mohammad Fahmi Ngah, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) kini merangka beberapa mekanisme baharu termasuk hiwalah (perintah garnishment) untuk memastikan hak penerima nafkah tidak terus dinafikan.
“Pemilihan mekanisme yang tepat dan efisien oleh pihak menuntut nafkah khususnya bekas isteri atau penjaga anak adalah faktor penting. Jika tersalah pilih saluran, ia boleh menyebabkan kelewatan, kekeliruan, malah menjejaskan hak mereka,” katanya semasa persidangan Dewan Negeri Selangor (DUN) hari ini.
Beliau menjawab soalan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) mengenai usaha kerajaan negeri memperkukuh undang-undang supaya tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi perintah nafkah.
Menurut Fahmi, Jakess sedang merancang kerjasama strategik dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi kewangan bagi membantu mengesan aset atau pendapatan suami yang ingkar.
“Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bersama Jakess, Jais (Jabatan Agama Islam Selangor), ahli akademik dan pakar undang-undang syariah kini sedang meneliti cadangan pindaan terhadap Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 supaya peruntukan mengenai penguatkuasaan perintah nafkah dapat diperkemas,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan sebanyak 1,189 aduan berkaitan pelanggaran nafkah telah diterima Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor sejak tahun 2022 sehingga 31 Mei 2025.