ST, TNB Perangi Kecurian Elektrik Perlombongan Kripto di Alor Setar

ALOR SETAR,— Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras kegiatan penggunaan elektrik secara tidak sah yang dikaitkan dengan perlombongan mata wang kripto di sekitar Alor Setar.

Operasi tersebut melibatkan serbuan ke atas tujuh premis yang disyaki terlibat dengan aktiviti perlombongan mata wang kripto melalui kecurian elektrik, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM273,679 sebulan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengetuai operasi itu bersama Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Ismail Zaili Yusop, selain disertai pihak TNB.

Menurut data terkini, sejak 2018 kecurian elektrik berkaitan perlombongan Bitcoin telah merekodkan kerugian keseluruhan mencecah RM4.8 billion

“Kegiatan ini dijalankan secara tersembunyi dan semakin sukar dikesan. Premis-premis terbabit biasanya beroperasi 24 jam tanpa kehadiran pekerja serta dilindungi sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu besi berlapis,” jelas kenyataan itu.

Sindiket didapati menggunakan taktik menyambung terus dari talian servis TNB tanpa melalui meter, selain memohon bekalan elektrik menggunakan identiti palsu atau syarikat tidak sah, menyebabkan pemantauan menjadi lebih mencabar.

“Pemeriksaan di salah satu premis mendapati sambungan elektrik haram yang berselirat digunakan untuk mengendalikan mesin perlombongan Bitcoin secara tidak sah,” kata kenyataan itu.

Selain kerugian kewangan, kegiatan tersebut turut mengundang risiko keselamatan serius kepada masyarakat, termasuk kejutan elektrik, kebakaran dan litar pintas akibat pemasangan kabel tidak mengikut spesifikasi.

ST memaklumkan bahawa aktiviti perlombongan Bitcoin belum diklasifikasikan sebagai jenayah oleh kerajaan dan tidak dikawal selia oleh mana-mana agensi tunggal.

Bagaimanapun, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik 1990 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta dan penjara hingga 10 tahun, bergantung kepada kategori pengguna dan rekod kesalahan.

ST turut menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian 03-8870 8800 atau emel ke [email protected].

“Pemberi maklumat yang membantu membawa kepada sabitan boleh menerima ganjaran sehingga 50 peratus daripada jumlah denda yang dikenakan, tertakluk kepada kelulusan mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pemilik premis disaran membuat permohonan Change of Tenancy (COT) kepada TNB sebelum menyewakan hartanah bagi mengelakkan risiko menanggung bil tertunggak akibat aktiviti haram penyewa.

“Komitmen ST akan terus diperkukuh melalui program kesedaran, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi membendung kecurian tenaga secara sistematik, demi memastikan keselamatan pengguna serta kelestarian tenaga negara,” kata kenyataan media itu.

BBerkaitan

Latest articles