SRC: Kenyataan Rafizi Gugat Kedaulatan Undang-Undang, Wajar Disiasat

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Teluk Intan menggesa pihak berkuasa segera membuka siasatan terhadap kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang didakwa cuba mencampuri urusan kehakiman berkaitan keputusan DNAA terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Teluk Intan, Zulfadzli Hisham Abu Zahni, gesaan Rafizi agar Jabatan Peguam Negara memfailkan semula rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah tindakan yang “tidak bertanggungjawab dan berbahaya”, selain disifatkan sebagai satu cubaan menggugat kewibawaan institusi kehakiman negara.

“Sebagai mantan menteri, beliau seharusnya memahami prinsip pemisahan kuasa dalam demokrasi berparlimen. Tindakan terbuka memberi tekanan terhadap institusi kehakiman mencipta precedent yang salah dan berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zulfadzli turut membangkitkan rekod lampau Rafizi yang pernah disabitkan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta BAFIA.

Beliau mendakwa, walaupun mahkamah telah mensabitkan Rafizi, Jabatan Peguam Negara ketika itu tidak memfailkan rayuan, namun kini Rafizi dilihat mendesak tindakan lanjut diambil terhadap pihak lain.

“Ini jelas berbau hipokrasi dan memperlihatkan sikap berat sebelah dalam menuntut keadilan,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Teluk Intan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyiasat Rafizi di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, atas dakwaan kenyataannya boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan.

“Undang-undang mesti ditegakkan secara adil tanpa pilih kasih. Jika benar Rafizi memperjuangkan keadilan, beliau juga perlu bersedia disiasat,” kata Zulfadzli.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan Pelepasan Tanpa Pembebasan (DNAA) kepada Datuk Seri Najib Razak dalam kes pengubahan wang haram SRC International melibatkan RM27 juta.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka masih belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan, meskipun kes difailkan sejak 2019.

Keputusan DNAA tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada Rafizi Ramli yang menggesa AGC memfailkan semula rayuan demi memelihara integriti sistem perundangan.

BBerkaitan

Latest articles