KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membongkar skandal membabitkan beberapa pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila lima pegawai kanan dari bahagian perisikan disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan bernilai jutaan ringgit setiap bulan.
Serbuan menerusi Ops Sohor yang dijalankan agensi itu bersama pasukan elit Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) awal pagi tadi berjaya melumpuhkan rangkaian penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air sejak lima tahun lalu.
Menurut sumber, kesemua pegawai berusia 30 hingga 55 tahun itu ditangkap bersama lima lagi individu awam, termasuk seorang wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah yang dipercayai menjadi wanita simpanan salah seorang pegawai terbabit.
“Pegawai kanan ini sepatutnya memantau dan membanteras penyeludupan, namun sebaliknya mereka dipercayai membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada sindiket,” kata sumber berkenaan.
Siasatan awal mendapati, sindiket membawa masuk dadah, rokok, minuman keras dan pelbagai barangan larangan dari negara jiran, dengan nilai penyeludupan mencecah RM5 juta setiap bulan.
Bagi setiap trip, suspek didakwa menerima sogokan antara RM30,000 hingga RM50,000, menjadikan jumlah kutipan rasuah melebihi RM3 juta sepanjang penglibatan mereka.
Hasil serbuan di sekitar Lembah Klang, SPRM merampas wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang, minuman keras dan senjata tiruan yang ditemui di premis berkaitan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan itu dan memberi amaran bahawa operasi sebegini bukan sekadar isu integriti, tetapi juga ancaman terus kepada keselamatan negara.
“Walaupun pelbagai agensi memantau, penyeludupan tetap berlaku jika ada pihak yang sanggup menggadaikan amanah demi habuan,” tegasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, manakala semua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.