SPRM Sita Aset RM31.4 Bilion, Terbesar Dalam Sejarah Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatat sejarah apabila merampas aset bernilai lebih RM31.4 bilion dalam tempoh lima tahun, menjadikan ia antara pencapaian terbesar agensi itu.

Daripada jumlah tersebut, hampir RM28 bilion telah berjaya dilucut hak dan dikembalikan kepada negara, melibatkan kes-kes berprofil tinggi seperti sindiket penyeludupan, penyelewengan dana dan pemilikan aset mewah hasil aktiviti jenayah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rampasan itu merangkumi pelbagai bentuk harta seperti hartanah, wang tunai, kenderaan mewah, jam tangan berjenama dan beg tangan eksklusif.

“Kejayaan ini bukan sekadar menumpaskan aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram, malah memulihkan hasil negara yang diseleweng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara yang termasuk dalam serbuan rampasan adalah Op Metal, dengan aset RM183 juta disita hasil serbuan sindiket penyeludupan besi dan projek rangkaian fiber-hartanah bernilai RM620 juta dirampas.

Begitu juga dengan rampasan di Kediaman bergelar Tan Sri dengan aset berjumlah RM32 juta termasuk 217 jam tangan mewah dan 27 beg tangan berjenama dan penyelewengan dana lebuh raya dengan RM36 juta aset disita termasuk wang tunai, kereta mewah dan akaun bank.

Azam menjelaskan, melalui Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), SPRM menumpukan usaha memulihkan dan melucut hak harta hasil jenayah, selari dengan peranan memerangi rasuah secara menyeluruh.

“Setiap aset yang dirampas adalah bukti jelas bahawa penjenayah tidak akan bebas menikmati hasil haram,” tegasnya.

Namun, beliau mengakui proses pelupusan harta yang dilucut hak tidak mudah kerana melibatkan peraturan undang-undang kompleks serta tempoh masa panjang, terutamanya jika ada rayuan di mahkamah.

SPRM kini menguruskan 41 hartanah yang masih menunggu pelupusan, dengan cabaran seperti ketiadaan mekanisme seragam dan kekangan peruntukan untuk kos penyelenggaraan serta guaman.

BBerkaitan

Latest articles