SPRM Johor Tahan 4 Pegawai Penguat Kuasa Terlibat Rasuah ‘Pasport Terbang’

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM3,000 bagi melindungi kegiatan haram dikenali sebagai ‘pasport terbang’.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia 20-an hingga 40-an itu ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Johor, semalam.

“Dua suspek utama ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan di kaunter semalam, sebelum diserahkan kepada SPRM.

“Hasil siasatan, dua lagi pegawai penguat kuasa turut ditahan kerana dipercayai bersubahat,” katanya.

Dalam operasi baru-baru ini, SPRM menemukan 14 pasport milik warga asing, empat telefon bimbit, serta wang tunai berjumlah kira-kira RM3,000, dipercayai hasil transaksi rasuah.

“Setiap pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik dikenakan bayaran rasuah sekitar RM200. Hasil rampasan telefon bimbit dan wang tunai menunjukkan kaitan langsung dengan kegiatan ini,” tambah sumber itu.

Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru esok (hari ini) untuk permohonan reman,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles