PUTRAJAYA: Spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet kembali hangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu selepas menghadiri satu majlis, hari ini.
Ketika diasak media mengenai desas-desus rombakan yang dikatakan bakal berlaku dalam masa terdekat, Anwar sekadar tersenyum dan menjawab ringkas, “Tanya (soalan) yang lain,” sebelum beredar meninggalkan majlis berkenaan.
Kenyataan itu muncul selepas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, mencetuskan spekulasi apabila secara berseloroh menyatakan beliau mungkin tidak lagi bersama Kabinet dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.
“Saya berharap sokongan daripada Perdana Menteri akan terus kekal untuk penganjuran festival ini pada masa hadapan. Sama ada saya masih dalam Kabinet atau tidak, itu soal nombor dua,” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup Festival Idea Putrajaya 2025 (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Untuk rekod, tempoh pelantikan Zambry sebagai Ahli Dewan Negara akan tamat pada 2 Disember ini, selepas beliau mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022.
Beliau merupakan antara empat menteri Kabinet yang dilantik sebagai Senator bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Daripada keempat-empat mereka, hanya Tengku Zafrul kini berkhidmat untuk penggal kedua sebagai Senator.
Ketika ditemui selepas majlis berakhir, Zambry bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kedudukannya.
“Semua itu terpulang kepada beliau (Perdana Menteri). Saya tidak tahu apa-apa,” katanya ringkas.










