Sorok 1.48 Tan Syabu Dalam Kontena, Tiga Lelaki Dihukum Gantung

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 1.48 tan yang disembunyikan dalam kontena di kawasan kolam ikan terbiar, enam tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Katar memutuskan hukuman itu terhadap Pang Ming Siong, 54, Cheng Foot Leong, 46, dan Tok Chun Wei, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.

“Dadah berbahaya ini disimpan dalam peket ‘Guanyinwang’, dimasukkan ke dalam guni, dijahit dengan tali rafia dan diletakkan di dalam kontena yang jauh dari jalan utama untuk mengelirukan pihak berkuasa.

“Jumlahnya pula mencecah 1,483,962.98 gram,” kata hakim ketika membacakan penghakiman.

Kesalahan itu dilakukan pada 19 Mac 2019, sekitar jam 7.30 pagi di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengikut rekod, serbuan pada 2019 itu menjadi tumpuan apabila pihak berkuasa merampas 2.06 tan syabu bernilai kira-kira RM103.2 juta, menjadikannya antara rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara ketika itu.

Paket dadah tersebut dibungkus rapi dalam bungkusan teh Cina berwarna hijau dan disorokkan di kawasan kolam ikan terbiar bersebelahan ladang kelapa sawit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh yang menegaskan kes ini amat jarang berlaku kerana melibatkan kuantiti dadah yang begitu besar.

Semua tertuduh diwakili peguam Muhammad Abd Kadir dan Khairul Nadia Hasni.

BBerkaitan

Latest articles