PUTRAJAYA: Skandal penyeludupan terbesar di selatan tanah air terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 10 individu, termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disyaki menjadi dalang pembocoran maklumat operasi kepada sindiket.
Turut ditahan dua wartawan portal berita, seorang pengurus syarikat, pembantu pentadbiran Malaysian Medical Association (MMA) dan seorang wanita warga asing.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, selepas permohonan SPRM.
Mengikut perintah itu, empat lelaki direman tujuh hari sehingga 20 Ogos, tiga suspek (dua lelaki dan seorang wanita) direman dua hari sehingga 18 Ogos, manakala tiga lagi termasuk seorang wanita warga Indonesia direman tiga hari sehingga 16 Ogos.
Menurut sumber, semua suspek berusia 30 hingga 55 tahun diberkas di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor hasil risikan SPRM selama setahun dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hasil siasatan awal mendapati pegawai kanan tentera berkenaan dipercayai menerima sogokan antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap penghantaran barangan seludup, yang dianggarkan bernilai RM5 juta sebulan.
Barangan diseludup termasuk dadah, rokok dan pelbagai produk dari negara jiran. Rangkaian sindiket ini digambarkan sebagai “besar dan kompleks” dengan penglibatan beberapa pihak berpengaruh.
Dalam serbuan Rabu lalu, pasukan risikan turut merampas wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang, minuman keras dan senjata api tiruan.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut undang-undang berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram.