KUALA LUMPUR: Siasatan awal mendapati seramai 20 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikenal pasti terbabit secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, semua individu terlibat akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang diguna pakai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menegaskan, perlakuan tersebut tidak mencerminkan budaya sebenar dalam TUDM dan tidak boleh diterima sama sekali.
“TUDM memandang serius sebarang pelanggaran Perintah, Direktif dan Peraturan.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak kepimpinan turut melahirkan rasa kesal terhadap insiden itu, dan mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan atau menguatkuasakan peraturan juga akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Isu ini tercetus selepas beberapa keping gambar dan video tersebar di media sosial, yang mendakwa wujud perlakuan tidak wajar serta budaya yang tidak selaras dengan etika perkhidmatan dalam sebuah kem tentera, dikenali sebagai budaya “Yeye”.
Susulan penularan bahan berkenaan, ATM mengarahkan siasatan dalaman dijalankan dengan segera bagi mengenal pasti pihak terlibat serta punca kejadian.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut memaklumkan satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk menentukan kesahihan dakwaan tersebut.










