KUALA LUMPUR : Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Fahmi Fadzil tampil mempertahankan Nurul Izzah Anwar daripada tuduhan nepotisme, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bermotif politik.
Berucap dalam Program Pertemuan Khas Anggota dan Pimpinan Keadilan Selangor malam tadi, Fahmi mempersoalkan sikap sesetengah pimpinan yang membisu ketika Nurul Izzah tidak bertanding pada pemilihan parti 2022, tetapi kini lantang menuduh nepotisme apabila beliau menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.
“Tiada siapa kata parti ini demokratik bila Nurul Izzah tak tanding jawatan pun pada 2022. Tapi bila dia nak tanding Timbalan Presiden, terus ada yang kata ini nepotisme.
“Kalau betul mahu bawa hujah nepotisme, sepatutnya waktu penggal lalu, bila dia tidak bertanding dan dilantik jadi Naib Presiden, itu masanya tuduh nepotisme. Tapi waktu itu semua diam,” tegas Fahmi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut menyatakan sokongan terbuka terhadap Nurul Izzah, menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang berjasa membawa dirinya ke dalam dunia politik.
“Saya terpanggil untuk bantu beliau antara 2008 hingga 2010. Saya ingat lagi, waktu itu ada suara-suara dalam parti yang suruh Nurul Izzah jangan bertanding jawatan Naib Presiden, termasuk dari Tian Chua,” katanya, berkongsi pengalaman awalnya dalam parti.
Fahmi turut mengingatkan semua calon dan penyokong agar tidak menanam kebencian sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya fokus kepada memperkukuh parti menjelang pilihan raya akan datang.
“Jangan sampai kita mengadu domba sesama sendiri. Yang kalah, yang menang, kita tetap perlukan semua kekuatan untuk pastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal jadi Perdana Menteri penggal kedua,” katanya.