KUALA LUMPUR: Selepas beberapa perkembangan berhubung kedudukannya sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kini dilaporkan kembali ditempatkan dalam struktur Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu berdasarkan notis pertukaran yang menyatakan beliau ditugaskan di Sekretariat Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa, di bawah pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Ismail.
Penempatan baharu itu berkuat kuasa 24 November lalu, dengan Mohd Shuhaily turut mengekalkan pangkat Komisioner Polis (CP), yang pernah disandangnya sebelum ini.
Bagaimanapun, perkembangan berkenaan masih belum disertai sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahupun PDRM.
Setakat ini, Mohd Shuhaily, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Khalid juga belum memberikan maklum balas berhubung perkara itu.
Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas Saifuddin pada Oktober lalu memaklumkan keputusan kementeriannya menamatkan penempatan Mohd Shuhaily secara pinjaman di AKPS.
Keputusan itu dibuat selepas Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas pertuduhan mencederakan dua anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), September lalu. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Menariknya, Mohd Shuhaily kembali muncul menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 2 November lalu apabila mempengerusikan mesyuarat komander, selepas dilaporkan bercuti pada minggu sebelumnya.
Pada 14 November lalu, Khalid pula memaklumkan beliau belum menerima sebarang arahan mengenai kepulangan Mohd Shuhaily ke PDRM, sambil menjelaskan pegawai itu masih mempunyai kontrak dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS menerusi pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Untuk rekod, Mohd Shuhaily pernah mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dipinjamkan ke AKPS sebagai Ketua Pengarah pada 1 Julai tahun lalu.










