SHAH ALAM: Bekas Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Shazeli Kahar secara rasmi dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau menggantikan Datuk Hussein Omar Khan, yang kini menjawat jawatan baharu sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, bermula 12 Julai lalu.
Shazeli, 50, mempunyai pengalaman luas selama 25 tahun dalam perkhidmatan polis, termasuk dalam siasatan jenayah dan risikan khas.
Beliau memulakan kerjaya di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, sebelum dilantik memegang pelbagai jawatan strategik di Bukit Aman.
Sepanjang kariernya, beliau turut pernah mengetuai unit risikan Cawangan Khas, termasuk yang menangani ekstremisme sosial dan pelampau agama, sebelum menerajui Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas berlangsung hari ini di IPK Selangor dan disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman, Komisioner Polis Gilberd Philip Layang.