Shafee: Kes 1MDB Najib Gagal Dibuktikan, Semua Bukti ‘Dengar Cakap’

KUALA LUMPUR: Peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tampil dengan hujah apabila menegaskan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah “memotong kakinya sendiri” dan gagal membuktikan sebarang asas kukuh terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Menurut beliau, keseluruhan kes pihak pendakwa bersandarkan kepada “keterangan dengar cakap berganda” atau double hearsay yang langsung tidak boleh diterima di sisi undang-undang.

“Pendakwaan dalam kes ini telah memotong kedua-dua kakinya sendiri, mereka kini tidak ada kaki untuk berdiri. Semua keterangan terhadap anak guam saya hanyalah dengar cakap berlapis tanpa jaminan kebenaran,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Shafee turut berhujah bahawa semua kenyataan yang dijadikan bukti bukan dibuat secara spontan atau res gestae, sebaliknya direka bentuk bagi mencipta persepsi bersalah terhadap Najib.

Beliau menambah, prinsip undang-undang yang jelas dan keputusan kehakiman luar negara turut menolak bentuk keterangan seperti itu.

Dalam hujahnya, Shafee turut mendakwa berlaku pendakwaan terpilih (selective prosecution) apabila individu kecil didakwa segera, sedangkan “tokoh utama” yang didakwa menyeleweng berbilion ringgit masih bebas.

“Ini fakta yang semua orang tahu. Ada individu lain yang disiasat pantas, tetapi Jho Low yang menyeleweng berbilion ringgit tidak lagi tersenarai dalam notis Interpol,” katanya.

Beliau juga mendakwa beberapa bekas pengarah dan individu asing yang menerima dana besar tidak pernah didakwa, malah tindakan sivil terhadap mereka ditarik balik kononnya bagi membolehkan mereka berpaling tadah dan menjadi saksi pendakwaan.

Mengulas isu dana RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Najib, Shafee menegaskan wang itu merupakan sumbangan sah daripada keluarga diraja Arab Saudi.

“Jika derma itu palsu, adakah Raja Salman akan datang secara rasmi ke Malaysia dan menjemput Najib menunaikan umrah bersamanya? Ini bukan naratif politik, ini fakta diplomatik,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan Najib tidak pernah terlibat dalam pengurusan harian 1MDB, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berdasarkan laporan rasmi yang diterima.

“Beliau tidak menandatangani cek, tidak urus akaun. Kesilapan berlaku di peringkat pengurusan, bukan pada beliau,” tegasnya.

Prosiding hari ini menandakan hujahan akhir pembelaan selepas 10 hari pendengaran bermula 21 Oktober lalu.

Pendakwaan menutup hujah pada 29 Oktober dan hari ini menjadi giliran terakhir pihak pembelaan sebelum keputusan ditetapkan.

Kes 1MDB ini merupakan antara perbicaraan berprofil tinggi negara, melibatkan 293 hari prosiding, 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan sejak ia bermula pada Ogos 2019.

Najib, yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Antara saksi utama sepanjang perbicaraan termasuk Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Jasmine Loo Ai Swan dan Roger Ng Chong Hwa dari Goldman Sachs.

BBerkaitan

Latest articles