Serangan Terhadap Anak – Rafizi Dakwa Amaran Untuk ‘Senyapkan’ Dirinya

PUTRAJAYA: Kejadian serangan jarum suntikan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini, menimbulkan persoalan besar mengenai tahap keselamatan awam, khususnya terhadap keluarga tokoh politik.

Dalam insiden sekitar jam 1.45 petang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi keledar penuh dilaporkan mengekori kenderaan isteri Rafizi sebelum mengheret serta mencucuk anak beliau dengan jarum suntikan.

“Semakan mendapati mereka sudah menunggu lebih awal dan menyerang pada waktu yang sesuai,” kata Rafizi, yang menganggap serangan itu dirancang rapi.

Mangsa segera dibawa ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut, manakala polis tiba di lokasi sejurus selepas kejadian.

Rafizi, yang menganggap insiden ini sebagai amaran supaya beliau tidak bersuara lantang dalam isu tertentu, menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada ugutan.

“Keselamatan keluarga adalah keutamaan, tetapi saya akan terus menjalankan tugas seperti biasa,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Hospital UPM atas tindakan pantas mereka.

Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif dan suspek yang terlibat.

BBerkaitan

Latest articles