Sembilan Wira FRU Diberi Penghormatan Terakhir Ikut Istiadat

KUALA LUMPUR: Dalam suasana penuh hiba dan kesedihan, sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas tragis di Teluk Intan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM), awal pagi tadi.

Jenazah dan jasad wira negara itu tiba di Unit 5 FRU Sungai Senam sekitar jam 3.14 pagi, diiringi deretan van PDRM sebelum majlis istiadat dimulakan.

Kesemua mereka diberi penghormatan tertinggi sebagai simbol pengorbanan anggota keselamatan negara.

Setiap keranda ditutupi Jalur Gemilang lambang kesetiaan dan jasa kepada tanah air.

Solat jenazah turut diadakan dengan kehadiran lebih 500 orang termasuk rakan setugas, ahli keluarga serta masyarakat setempat.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Exco Kerajaan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah, dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.

Tujuh jenazah beragama Islam telah disembahyangkan di Surau Ar-Rahman, IPD Hilir Perak, sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.

Mendiang S. Perumal dibawa ke Krematorium Buntong, manakala mendiang Koperal Nurit Pandak dihantar ke kampung halaman di Bukit Terang, Kampar, bagi upacara penghormatan mengikut adat dan kepercayaan masing-masing.

Salah seorang anggota terkorban, Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang pada jam 4.50 pagi, dalam suasana yang penuh sayu dan pilu.

Majlis pengebumian disempurnakan dengan istiadat pengkebumian kepahlawanan, menyaksikan Ketua Polis Perak menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar, 53 tahun, sebagai simbol penghormatan tertinggi negara.

“Anak saya seorang yang berdisiplin dan sanggup berkorban untuk tugas. Saya reda, tapi hati ibu mana yang tidak luluh,” kata Suriati dalam linangan air mata.

Talkin dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Kepayang, Jamaludin Mohd Amin, manakala bacaan doa dan tahlil disempurnakan oleh Azrul Zaimee Mohamad Ali dari Bahagian Agama dan Kaunseling, FRU.

BBerkaitan

Latest articles