Selepas Tiga Tahun, KJ Kembali Ke Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mengakui kehadirannya ke Perhimpunan Agung UMNO hari ini sebagai satu detik yang sangat emosional, hampir tiga tahun selepas beliau dipecat daripada parti.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan perhimpunan, Khairy berkata beliau hadir selepas menerima jemputan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, serta mendapat keizinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda kerana menjemput saya hadir. Semalam saya jumpa Datuk Seri Zahid di majlis tahlil Tun Razak, dan saya tanya secara terus sama ada saya boleh datang hari ini. Saya kata, kalau Datuk Seri tidak izinkan, saya tidak akan datang. Alhamdulillah, beliau kata ‘please come’,” katanya.

Menurut Khairy, kehadirannya itu adalah sebagai pemerhati dan bukan membawa sebarang mesej politik tertentu.

Hari ini hari yang sangat emosional bagi saya kerana dapat pulang ke perhimpunan parti saya. Insya-Allah, perkara-perkara yang baik selepas ini,” katanya.

Mengulas sama ada kehadiran itu menandakan langkah awal untuk kembali aktif dalam UMNO, Khairy mengambil pendirian berhati-hati.

“One step at a time,” katanya ringkas, mengulangi jawapan sama apabila ditanya beberapa kali mengenai kemungkinan tersebut.

Ditanya mengenai gesaan sebahagian pimpinan Pemuda agar UMNO meninggalkan Kerajaan MADANI, Khairy berkata pendirian yang disuarakan Ketua Pemuda adalah lebih kompleks dan berprinsip.

“Akmal jelas menyatakan Pemuda akur dengan keputusan parti untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya kerana kita tidak mahu kestabilan politik terjejas. Itu mesej yang sangat penting,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Pemuda UMNO mahu memastikan prinsip serta ‘garis merah’ UMNO tidak dilanggar oleh mana-mana pihak dalam kerajaan.

“Dia kata, tidak mengapa kita sokong kerajaan sedia ada, tetapi pada masa yang sama, perkara yang patut dibuat, perlu dibuat. Dan Pemuda akan memainkan peranan itu,” katanya.

Menyentuh cadangan penyatuan orang Melayu dan penganjuran perhimpunan berkaitan, Khairy berkata usaha tersebut wajar dilihat secara positif selagi ia tidak berunsur kebencian.

“Ini bukan perhimpunan kebencian dan bukan usaha untuk membuat kaum lain rasa terancam. Penyatuan Melayu tidak perlu menjadi sesuatu yang ditakutkan oleh orang lain,” katanya.

Beliau berharap inisiatif itu dapat menyatukan orang Melayu tanpa menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles