KUALA LUMPUR: Tindakan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard menyebat patung menyerupai Perdana Menteri ketika Himpunan Turun Anwar baru-baru ini terus mengundang kecaman hebat daripada pelbagai pihak.
Aktivis politik dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamululai, menyifatkan aksi itu sebagai tidak bertamadun, provokatif dan melampaui batas norma demokrasi beradab.
“Tindakan menyebat patung yang menyerupai Perdana Menteri adalah keterlaluan dan jelas melanggar prinsip Rukun Negara, khususnya ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ serta ’Keluhuran Perlembagaan’,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Syed Rosli, walaupun perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mempersembahkan budaya kebencian dan politik samseng kepada rakyat.
“Politik biarlah berprinsip, bukan dikuasai oleh dendam sehingga tergamak mengheret rakyat ke dalam budaya kebinatangan. Tindakan menghina dan tidak beradab ini mencemarkan imej negara di mata dunia,” tegas beliau.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa agar menjalankan siasatan segera terhadap insiden itu, yang didakwanya mengundang simbol keganasan dalam ruang demokrasi negara.
“Kita perlu pelihara negara dengan adab dan perdebatan rasional, bukan dengan simbol-simbol kebencian. Hormati demokrasi, junjung nilai Rukun Negara,” ujarnya lagi.
Chegubard sebelum ini ditahan polis pada Isnin lalu di kediamannya bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Himpunan Turun Anwar, yang berlangsung Sabtu lalu.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan keesokan harinya selepas permohonan reman empat hari oleh pihak polis ditolak oleh mahkamah.
Mengulas pembebasan itu, Syed Rosli turut menasihati Chegubard agar tidak memainkan peranan sebagai mangsa (play victim), memandangkan aksi yang dipertontonkan kepada umum sebelum ini jelas mencerminkan pelanggaran norma kesopanan.