“Saya Terima Dengan Hati Terbuka” – Kor Ming Sedia Jumpa Media

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tampil meredakan ketegangan dengan menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan pihak media dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kontroversi yang tercetus baru-baru ini.

Menurut Kor Ming, beliau menyedari kemungkinan berlaku kekhilafan dalam insiden berkenaan dan menerima perkara itu dengan hati terbuka.

“Sebagai pemimpin, saya sentiasa menghormati kebebasan media dan tidak pernah berniat menyinggung mana-mana pihak, khususnya para wartawan yang merupakan tunggak penyampai maklumat kepada rakyat di bawah Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan media yang sentiasa menyokong serta memainkan peranan penting dalam menyampaikan agenda dan inisiatif KPKT kepada masyarakat.

“Objektif saya hanyalah untuk bersama-sama membina Malaysia yang inklusif, progresif, dan terus mengangkat martabat negara di pentas dunia,” katanya lagi.

Kontroversi melibatkan Kor Ming tercetus selepas tular video beliau menjawab soalan seorang wartawan dengan nada agak tegas ketika ditanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam nama sebuah acara rasmi.

Insiden itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang menuntut beliau memohon maaf kepada wartawan berkenaan dan komuniti media secara umum.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa Kor Ming telah memberi komitmen untuk bertemu dengan organisasi media berkaitan bagi meleraikan isu tersebut selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat lalu.

BBerkaitan

Latest articles