Saifuddin: Keputusan NFA Kes Zahid Hak Mutlak Peguam Negara

BANDAR BAHARU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengklasifikasikan kes dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dibuat sepenuhnya mengikut kuasa perlembagaan.

Menurut beliau, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan budi bicara kepada Peguam Negara untuk memulakan, meneruskan atau memberhentikan sebarang prosiding jenayah tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Apa juga keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara, saya yakin ia dilaksanakan dalam ruang undang-undang serta selaras dengan kuasa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2026, hari ini.

Terdahulu, AGC mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi selepas mendapati keterangan hasil siasatan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan guaman Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat bagi menukar perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum ini kepada lepas dan bebas (DAA).

Untuk rekod, pada 2023, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan DNAA terhadap Zahid bagi semua 47 pertuduhan berkenaan bagi memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan lanjut sebelum AGC membuat keputusan muktamad.

BBerkaitan

Latest articles