Sabah yang tertetak di Kawasan utara, timur laut Borneo sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan yang serba boleh. Keunikan negeri ini terletak kepada kepelbagaian produk pelancongannya yang merangkumi pengalaman bersama alam semula jadi, budaya dan warisan, keindahan laut dan aktiviti pengembaraan. Pendek kata, Sabah sangat versatil dan bertuah dengan keindahan dwi alamnya, dari puncak Gunung Kinabalu yang megah hingga ke dasar laut Sipadan yang mempesona.
Sebut sahaja negeri Sabah, pasti terlintas imej Gunung Kinabalu yang megah dan ikonik.
Gunung yang tertinggi di Malaysia ini menjadi impian para pendaki untuk menawan puncak Low’s Peak. Namun tahukah kamu bahawa ketiga-tiga puncak tertinggi di Malaysia terletak di negeri di bawah bayu ini?
Selain Gunung Kinabalu, dua lagi puncak yang mendominasi ketinggian gunung-gunung di Malaysia ialah Gunung Trusmadi dan Gunung Sinsing. Kedua-dua gunung ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pendaki tempatan kerana cabaran laluan pendakiannya yang dikhabarkan lebih sukar berbanding Gunung Kinabalu.
Uniknya, sepanjang denai pendakian, pendaki dapat melihat perubahan kanopi hutan yang menunjukkan keindahan alam semulajadi dan peluang untuk melihat pemandangan karpet awan putih di puncak.
Kredit foto Sabah Tourism Board/ Emilie Crosasso
Keindahan biodiversiti negeri Sabah juga memberi peluang kepada pencinta alam untuk menghargai kepelbagaian flora dan fauna. Kawasan pantai timur Sabah seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau merupakan destinasi terbaik untuk memerhati hidupan liar serta spesies endemik yang unik di rantau ini.
Pengunjung berpeluang melihat secara lebih dekat hidupan liar ikonik seperti orang utan, monyet belanda, beruang madu, gajah borneo, burung enggang dan bermacam- macam lagi yang tentunya menggamit pengalaman yang mendebarkan dan menimbulkan perasaan cinta terhadap alam yang masih terpelihara.
Melihat gelagat orang utan di Pusat Rehabilitasi Orang Utan di Sepilok,Sandakan
Kredit foto Sabah Tourism Board/ Emilie Crosasso
Rebutlah peluang cuti sekolah untuk membawa keluarga mengunjungi destinasi seperti Pusat Rehabilitasi Orang Utan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo dan kawasan perlindungan seperti di Hutan Simpan Tabin dan Taman Bukit Tawau. Pelawat bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam tetapi juga mendapat manfaat ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada usaha konservasi hidupan liar dari renjer atau pemandu pelancongan tempatan yang terlatih.
Jikalau syarikat produksi antarabangsa seperti National Geographic Channel dan Animal Planet berminat untuk merakam dokumentasi hidupan liar di Sabah, mengapa tidak kita sendiri berbangga akan kelebihan negara sendiri.
Kredit foto Murphy Ng
Kredit foto Sabah Tourism Board/ Emilie Crosasso
Namun keindahan hidupan alam di Sabah tidak hanya tertumpu di darat malah juga terkenal dengan tarikan dasar laut yang mengagumkan ramai peminat selam dari seluruh negara. Negeri ini dikelilingi oleh pulau-pulau yang menarik seperti Pulau Tiga, Pulau Mantanani, Taman Marin Tunku Abdul Rahman, Taman Marin Tun Mustapha, Pulau Selingan dan Taman Marin Tun Sakaran.
Tempat-tempat ini mempunyai kelebihan tersendiri sesuai untuk aktiviti snorkeling atau selam skuba.
Misalnya Pulau Tiga terkenal dengan gunung berapi lumpur manakala Pulau Selingan dikenali sebagai kawasan penyu bertelur dan penetasan anak penyu. Ketenangan dan pemandangan laut biru di pulau-pulau ini pastinya menimbulkan rasa suka dan kepuasan kepada sesiapa yang melancong di sini.
Kredit foto Sabah Tourism Board
Lembaga Pelancongan Sabah juga giat memasarkan produk pelancongan komuniti yang semakin berkembang. Mengambil peluang keindahan alam semulajadi Borneo, penduduk kampung terutamannya di kawasan pendalaman, semakin menyahut inisiatif kerajaan untuk membangunkan kawasan mereka sebagai destinasi pelancongan luar bandar melalui latihan berterusan dan geran bantuan.
Usaha ini bukan sahaja memupuk semangat muafakat dalam kalangan komuniti untuk memelihara ekosistem alam sekitar, malah membantu menjana sumber ekonomi dengan peluang pendapatan dan pekerjaan dalam industri ini.
Pelancongan luar bandar juga sekaligus menjadi peluang untuk pelawat mengenali secara lebih dekat budaya dan warisan orang asli Sabah.
Kredit foto Sabah Tourism Board
Contohnya, produk pelancongan Tahas Tininting di Kampung Salinatan, pendalaman Nabawan memberikan pengalaman tinggal di rumah panjang komuniti Murut Tahol. Selain itu pengalaman inap desa di Kampung Sunsuron, Tambunan pula membolehkan pelancong merasai gaya hidup komuniti suku kaum dusun termasuklah mencuba makanan dan tarian tradisional mereka.
Secara keseluruhannya, pelancongan berasaskan komuniti bukan sahaja memperkaya pengalaman pelancong dengan keindahan fizikal sesuatu tempat, tetapi juga memupuk kesedaran terhadap pelancongan yang bertanggungjawab, mampan dan menjaga kelestarian alam dan budaya.
Sabah sememangnya sebuah destinasi pelancongan yang versatil. Keunikan geografi, kekayaan biodiversiti, kepelbagaian budaya serta semangat komuniti yang mesra menjadikan Sabah destinasi yang bukan sahaja indah, mesra malah kaya dengan nilai pengalaman.
Kredit foto Sabah Tourism Board
Jika Sabah sudah lama berada dalam senarai impian percutian anda, Matta Fair yang bakal berlansung pada bulan depan akan menghimpunkan ramai ejen-ejen pelancongan dari Sabah yang menawarkan promosi pelancongan yang menarik. Selain itu Persatuan Pelancongan Daerah Tambunan dan pengusaha minuman tempatan buatan Sabah iaitu UINAH akan turut bersama di reruai Sabah.
Orang ramai dijemput untuk mengunjungi Zon Sabah, di mana pelbagai aktiviti dan persembahan budaya akan dipertontonkan untuk dinikmati para pengunjung.
Khas sempena MATTA Fair kali ini, Sabah telah terpilih sebagai ‘Destinasi Kegemaran Malaysia’, sekali gus mengukuhkan lagi alasan mengapa Sabah wajar dikunjungi.
Tambahan pula, STB menawarkan baucar rebat pelancongan dengan setiap pembelian pakej-pakej terpilih daripada mana-mana ejen dan hotel berdaftar dari Sabah.
Pameran MATTA akan berlangsung pada 5-7 September 2025, di MITEC, Kuala Lumpur dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam. Rebutlah peluang ini dan jumpa di sana!
Maklumat lanjut di www.sabahtourism.com .