ISLAMABAD: Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berakhir tanpa sebarang persetujuan selepas hampir sehari perbincangan, kata Naib Presiden AS, JD Vance.
Menurut beliau, Washington telah mengemukakan cadangan yang dianggap sebagai “tawaran muktamad dan terbaik”, namun keputusan kini bergantung kepada Iran untuk menerimanya atau sebaliknya.
“Kami pergi dengan cadangan yang jelas. Kini kita tunggu sama ada Iran bersedia menerimanya,” katanya kepada media selepas rundingan selama 21 jam di Islamabad.
Vance menjelaskan, isu utama yang menjadi pertikaian adalah berkaitan program nuklear Iran, dengan AS menuntut jaminan tegas bahawa negara itu tidak akan membangunkan senjata nuklear dalam jangka pendek mahupun panjang.
Bagaimanapun, beliau mengakui komitmen sedemikian masih belum ditunjukkan oleh Tehran setakat ini.
Dalam masa sama, beliau memberi bayangan bahawa pintu rundingan masih terbuka, termasuk cadangan gencatan serangan sementara antara Iran dan Israel bagi memberi ruang kepada proses diplomasi.
Vance turut menegaskan bahawa Donald Trump memberi ruang fleksibiliti kepada delegasi AS untuk berunding secara terbuka, namun usaha tersebut belum membuahkan hasil.










