PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan beberapa pertukaran portfolio utama, termasuk pelantikan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Johari mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, yang tamat tempoh sebagai Senator selepas dua penggal awal bulan ini.
Susulan pelantikan berkenaan, portfolio Perladangan dan Komoditi yang sebelum ini disandang Johari kini diserahkan kepada Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.
Dalam rombakan sama, Anwar turut mengumumkan pertukaran portfolio membabitkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang kini dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Jawatan Menteri Belia dan Sukan yang ditinggalkannya pula diisi oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, bertukar portfolio apabila dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala portfolio Sumber Manusia diserahkan kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan, yang sebelum ini memegang jawatan timbalan menteri dalam kementerian sama.
Rombakan kali ini turut menyaksikan beberapa kenaikan pangkat apabila Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah JPM, manakala Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir, dilantik sebagai Menteri Ekonomi.
Selain itu, Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Kurup, turut dilantik sebagai menteri penuh dengan portfolio Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli sebelum ini kosong susulan kekalahan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam pemilihan PKR.
Untuk rekod, rombakan ini merupakan yang kedua dilakukan Anwar sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022, selain mengambil kira peletakan jawatan Ahli Parlimen Penampang, Ewon Benedick, sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah, bulan lalu.










