KUALA LUMPUR: Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat bertukar panas apabila pertikaman lidah antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang memaksa campur tangan segera Speaker, Tan Sri Johari Abdul.
Insiden bermula sebaik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PN–Marang) berucap, dengan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin (PH) dan Jelutong, RSN Rayer (PH) mempertikai kandungan ucapan yang didakwa tidak menyentuh topik RMK13.
Pertikaian bertambah tegang apabila Rayer mendakwa PAS sebagai “parti ajaran sesat”, mencetuskan bantahan keras daripada wakil pembangkang yang menuntut kenyataan itu ditarik balik.
Kenyataan itu kemudian disambut oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menggesa supaya ia ditarik balik.
“Tarik balik! Ini perbuatan biadab, sangkaan jahat! Perkataan Pas itu, tarik balik! Ini akan menimbulkan sifat bermusuh-musuhan! Tuduh parti ajaran sesat ini, kurang ajar!” katanya.
Timbalan Speaker ketika itu, Suhaizan Kaiat, cuba mengawal keadaan namun kekecohan berlarutan sehingga Johari mengambil alih persidangan.
Beliau memberi amaran keras kepada semua Ahli Parlimen agar menghentikan perang mulut dan mengingatkan mereka supaya berkelakuan matang.
“Saya dengar dari chamber, ada perkataan maki dan bahasa tidak elok digunakan. Kita bercakap tentang negara maju, tetapi kalau perangai begini, sukar untuk capai. Hormati dewan,” tegas Johari, sambil memberi amaran kemungkinan penggantungan terhadap mana-mana ahli yang terus berkelakuan kebudak-budakan.
Terdahulu, dalam ucapannya Abdul Hadi menyifatkan kerajaan yang membebankan kehidupan rakyat seperti masalah inflasi, kos sara hidup, keruntuhan moral, jenayah, rasuah, dan lain-lain sebagai satu bentuk bencana.
Katanya, rakyat wajib menukar kerajaan yang berpakaian tidak lengkap ini kerana kehilangan maruahnya dan hilang harga diri manusia yang dimuliakan Allah, di samping khianat terhadap amanah untuk mentadbir dunia dengan petunjuk Allah.
Beliau secara berkias melalui pantun berkata, Kuala Lumpur bermasalah kerana pentadbiran kerajaan disertai DAP dan PH.
“Sebab Kuala Lumpur punca masalah bawah DAP, PH dan rakan-rakannya.
“Pergi ke Sabah patah balik menuju Kelantan, jangan berlumpur tersungkur rebah, lebih baik letak jawatan,” katanya.