RM100 ‘One-Off’ SARA Melalui MyKad Untuk Semua Dewasa, 15 Sept Diumum Cuti Tambahan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan dua inisiatif istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia.

Pertama, Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, dengan pemberian bantuan tunai ‘one-off’ RM100 secara automatik melalui MyKad, bermula 31 Ogos ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif itu sebagai tanda penghargaan kepada rakyat serta membantu meringankan beban sara hidup, khususnya dalam suasana ekonomi semasa.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dan melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion daripada kerajaan,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Menurut Anwar, bantuan tersebut boleh digunakan untuk membeli barangan asas di lebih 4,100 lokasi terpilih termasuk pasar raya besar dan kedai runcit di seluruh negara, bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.

Menariknya, pemberian ini bersifat individu, bukan berdasarkan isi rumah.

Ini bermakna jika dalam satu keluarga terdapat empat individu dewasa seperti ibu, bapa dan dua anak berumur lebih 18 tahun bermakna kesemua mereka akan menerima RM400 secara keseluruhan.

“Ia diberikan sebagai penghargaan kepada semua rakyat, tanpa mengira latar belakang, dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyalurkan manfaat terus kepada individu,” tambah Anwar.

Dalam pengumuman berasingan, Anwar turut mengisytiharkan 15 September 2025 (Isnin) sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun.

Katanya, cuti tambahan itu bertujuan menghargai semangat perpaduan dan pembentukan Malaysia, selain memberi ruang kepada rakyat untuk pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga.

“Cuti ini juga sebagai dorongan kepada rakyat untuk mempererat silaturahim, melawat sanak saudara, atau menikmati keindahan destinasi pelancongan dalam negara,” ujar beliau.

BBerkaitan

Latest articles