Representasi Gugur Pertuduhan Miliki, Bekal Pistol Kepada Warga Israel Ditolak

KUALA SELANGOR: Permohonan seorang wanita untuk menggugurkan pertuduhan memiliki sepucuk pistol yang dipercayai dibekalkan kepada seorang lelaki warga Israel ditolak pihak pendakwaan negeri Selangor.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak, memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes Sharifah Faraha Syed Husin, 42, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Selangor, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

“Representasi yang dikemukakan oleh tertuduh telah ditolak oleh pihak pendakwaan,” katanya, memetik laporan Bernama.

Susulan penolakan itu, mahkamah menetapkan 6, 7, 8, 13 dan 17 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan.

Sharifah Faraha diwakili peguam Mohd Radzuan Ibrahim, manakala pihak pendakwaan akan memanggil 10 saksi bagi memberi keterangan.

Terdahulu, pada 8 April 2024, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis CZ 75 P-01 CAL.9 Luger di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, pada jam 8 malam, 29 Mac 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suami tertuduh, Abdul Azim Mohd Yasin, 44, sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 9 akta sama, yang membawa hukuman serupa.

Dia dihukum penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh mahkamah sama pada 5 Jun lalu, selepas didakwa berada bersama isterinya dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia tahu mengenai pemilikan senjata api tersebut.

Kes ini mendapat perhatian kerana dikaitkan dengan Avitan Shalom, seorang lelaki warga Israel berusia 39 tahun yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Februari.

Avitan mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api yang ditemui dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara 26 hingga 28 Mac tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles