KUALA LUMPUR: Misteri kematian seorang remaja wanita yang ditemui tergantung pada kipas di kediamannya di USJ 2/1, Subang Jaya, Khamis lalu akhirnya terungkai apabila hasil bedah siasat mengesahkan mangsa dibunuh.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pemeriksaan pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa berpunca daripada pendarahan di bahagian tulang leher (hyoid bone).
“Hasil bedah siasat menunjukkan kecederaan pada otot dan tulang mangsa adalah akibat manual strangulation (cekik menggunakan tangan).
“Sehubungan itu, kes ini kini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.55 pagi daripada bapa mangsa yang menemui anak perempuannya tergantung pada kipas di ruang tamu tingkat dua rumah mereka.
Pembantu perubatan yang bergegas ke lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa, berusia lingkungan 20-an, sudah meninggal dunia.
Wan Azlan dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan di media sosial bagi mengelak mengganggu siasatan.
Beliau turut menggesa individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-278627100 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Zainol Aazizi Abu Bakar di talian 013-3227632.