AYER KEROH: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan membunuh ibu dan abangnya, serta satu pertuduhan mencederakan adik kandungnya dalam satu kejadian minggu lalu.
Remaja tersebut, berpakaian lokap ungu dan kelihatan tenang sepanjang prosiding, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Menurut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh ibunya yang merupakan seorang guru berusia 51 tahun dan abangnya yang berumur 21 tahun antara jam 5 pagi hingga 5.30 pagi, 12 Jun lalu, di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka.
Kedua-dua mangsa dilaporkan mati akibat tikaman di badan dan leher, manakala adik bongsunya yang berusia 13 tahun pula cedera parah selepas ditikam menggunakan pisau lipat sepanjang 20 sentimeter.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan minimum 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Untuk pertuduhan mencederakan adiknya, remaja itu mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, sebelum ini mendedahkan bahawa siasatan awal mendapati tekanan dan dendam terhadap ibu dan abang yang sering memaksanya belajar menjadi motif utama pembunuhan kejam itu.
Remaja tersebut merupakan anak kedua daripada tiga beradik, dan tinggal bersama ibunya yang menjadi ibu tunggal selepas kematian suami pada Januari lalu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah, manakala suspek ditahan polis dalam keadaan bingung di luar garaj rumah, bersama sebilah pisau dalam beg sekolahnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian, manakala remaja terbabit diwakili peguam Cassian Anthony.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat.