KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam usaha terakhirnya untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya dalam kes rasuah projek solar hibrid, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan beliau.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan memutuskan secara sebulat suara bahawa tiada bukti wujudnya bahaya berat sebelah terhadap keputusan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan.
Mahkamah turut mendapati hakim berkenaan tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009.
Keputusan itu sekali gus menutup ruang untuk Rosmah mendapatkan perbicaraan semula atas alasan ketidakadilan.
Mahkamah tertinggi negara berpendapat Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf ketika menolak permohonan Rosmah sebelum ini, justeru tiada sebab untuk campur tangan terhadap keputusan tersebut.
Rosmah sebelum ini memohon agar hakim bicara menarik diri susulan dakwaan kewujudan draf penghakiman yang disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum keputusan bersalah diumumkan pada 1 September 2022.
Namun, mahkamah memutuskan dakwaan bahawa hakim bergantung kepada draf tersebut tidak berjaya dibuktikan.
Sebaliknya, Mahkamah Rayuan mendapati alasan penghakiman sebenar berbeza daripada draf berkenaan dan disediakan sendiri oleh hakim berdasarkan hujahan kedua-dua pihak.
Susulan keputusan hari ini, rayuan Rosmah terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta akan diteruskan di Mahkamah Rayuan.
Pengurusan kes ditetapkan esok.
Pada 1 September 2022, Rosmah disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.










